Pitas Benteng Keterjaminan Makanan Sabah
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

25 Oktober 2025
PITAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus komited memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan menerusi pemerkasaan sektor pertanian Sabah, khususnh dalam meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara.
Ia termasuk mengiktiraf peranan penting para pesawah, petani, dan peladang di daerah Pitas sebagai benteng utama keterjaminan makanan di Sabah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi Sesi Libat Urus bersama para pesawah padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas.
Katanya, beliau yakin dengan kebolehan dan kemampuan pesawah Pitas yang mampu melaksanakan pencapaian sasaran berkenaan.
“Sebab itu di atas minat mereka dan kerajinan mereka, maka kerajaan hari ini dapat menambah dua unit traktor, ‘full rubber truck’ yang ada di luar itu dengan nilainya hampir sejuta.
“Begitulah juga dengan sumbangan-sumbangan yang lain termasuk asnaf para peladang dan sebagainya. Kita nampak Sabah sangat berpotensi, banyak lagi tanah-tanah yang ditinggalkan di Kota Belud,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sesi Libat kementeriannya bersama Pesawah Padi Pertubuhan Peladang Pitas, di sini, pada Sabtu.
Mohamad berkata, beberapa pihak termasuk syarikat-syarikat swasta turut tampil menawarkan diri untuk membuat perusahaan secara besar-besaran.
“Swastakah kena kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan federal. Sebab kita beras sekarang SSL kita 65 peratus, kita nak tingkatkan tahun 2030 sekurang-kurang pada tahap 30 peratus. Kita yakin ianya boleh jika tumpuan diberi oleh semua pihak,” katanya.
Sementara itu, sesi libat urus itu menjadi platform untuk melihat sendiri kejayaan pelaksanaan Program Modenisasi Estet Padi (MEP) PPK Pitas.
Projek MEP di Kampung Kabatasan menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan apabila berjaya meningkatkan hasil padi sebanyak dua kali ganda, iaitu dari 3 metrik tan sehektar kepada 6 metrik tan sehektar semusim.
Kejayaan ini didorong dengan Pengurusan Berpusat, Penyelarasan di Ladang, Pewujudan Tabung Projek, dan Rakan Strategik yang diurus dan diselaraskan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Pitas yang melibatkan para pesawah di Daerah Pitas
Mohamad berkata, beliau amat yakin dengan sokongan utuh daripada semua pihak di peringkat akar umbi akan membolehkan visi dan misi Kerajaan Madani dalam memacu sektor pertanian dilaksanakan dengan jayanya.


















Comments