- nabalunews
PKK Tawau sita 23, 000 kg garam beriodin
14 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau menyita sejumlah 23,000 kilogram (kg) garam beriodin yang dikeluarkan sebuah kilang di sini, bagi tujuan pelupusan selepas didapati mengandungi jumlah iodin yang rendah.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan berkata, garam dianggarkan bernilai RM60,000 itu disita susulan kes pendakwaan ke atas kilang tersebut di Mahkamah Majistret Tawau semalam.
Menurutnya, syarikat terbabit, Heng Say Enterprise Sdn Bhd didenda RM10,000 oleh Majistret Don Stiwin Malanjum atas kesalahan mengilang untuk jualan garam beriodin yang dianalisa mengandungi 12mg/kg iodin.
Katanya, di bawah Akta Peraturan Pemakanan 1985, Peraturan 285(1A) bagi tujuan kesihatan awam, jumlah kandungan iodin mestilah tidak kurang 20mg/kg dan tidak melebihi 40mg/kg.
“Syarikat tersebut didapati melanggar Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 dibaca bersama Peraturan 285 (1A) Akta Makanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20, 000 atau penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Dr. Shameer berkata penguatkuasa PKK Tawau melakukan lawatan ke kilang pengeluar garam tersebut pada 2 April lalu dan mengambil sampel garam beriodin untuk tujuan analisis di makmal kesihatan awam.
Katanya, pada 29 Mei lalu, hasil analisis makmal mendapati garam yang diambil sampel itu mengandungi jumlah iodin yang rendah iaitu 12mg/kg.
Comments