PKP: BICARA DI MAHKAMAH TERBUKA DITANGGUH MULAI ESOK HINGGA 26 JANPKP: BICARA DI MAHKAMAH TERBUKA DITANGGUH MULAI ESOK HINGGA 26 JAN
top of page
  • nabalunews

PKP: BICARA DI MAHKAMAH TERBUKA DITANGGUH MULAI ESOK HINGGA 26 JAN


Gambar hiasan

12 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Semua pendengaran dan perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka bermula esok hingga 26 Jan ini ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.


Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan penetapan tarikh perbicaraan atau pendengaran yang baharu akan dimaklumkan kemudian.


“Dalam keadaan kes-kes yang mendesak, persetujuan Hakim Besar Malaya atau Hakim Besar Sabah dan Sarawak untuk menjalankan perbicaraan atau pendengaran kes di mahkamah terbuka hendaklah diperolehi terlebih dahulu,” demikian menurut kenyataan itu.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) selama dua minggu bermula esok.


PKPMP memaklumkan, bagi pengendalian kes jenayah di semua peringkat mahkamah (Mahkamah Persekutuan, Rayuan, Tinggi, Sesyen dan Majistret ) pengurusan kes akan dijalankan menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh iaitu melalui platform sidang video dan e-mel.


Menurut PKPMP perbicaraan atau pendengaran kes sivil di mahkamah seluruh negara ini juga dikendalikan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.


“Bagi pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada mahkamah bagi tujuan persediaan dan tarikh sebutan yang seterusnya hendaklah ditetapkan selepas tamat tempoh PKP,” katanya.


Menurut PKPMP, permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 pula akan dijalankan seperti biasa mengikut jadual bertugas yang telah ditetapkan manakala pelanjutan reman di bawah Seksyen 259 KTJ akan dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.


“Bagi kesalahan yang boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa dan penggunaan sistem e-Jamin adalah digalakkan,” katanya. – Bernama


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page