top of page

PKP SELURUH NEGARA BERMULA 12 MEI SEHINGGA 6 JUN

  • Wartawan Nabalu News
  • May 10, 2021
  • 2 min read

Gambar Hiasan

10 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula Rabu ini sehingga 6 Jun berikutan kes-kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan beliau pada hari ini.


"Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,369 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga yang boleh mencetus suatu krisis nasional.


"Tindakan lebih drastik ini diambil kerena wujudnya varian-varian baharu dengan kadar kejangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dengan pelaksanaan PKP, rentas daerah dan negeri adalah dilarang kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.


"Semua bentuk perhimpunan sosial juga dilarang, ternasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta.


"Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.


"Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam," kata Muhyiddin.


Manakala, semua aktiviti sukan dan rekreasi juga dilarang kecuali aktiviti individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.


Semua insitusi pendidikan juga diarahkan tutup, walau bagaimanapun pengeculiam diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.


Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.


Bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, hanya tiga orang sahaja dihadkan dalam sesebuah kenderaan termasuk pemandu.


"Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

"Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.


Selain itu, dine-in di restoran dan kedai makan juga dilarang dan hanya penjualan makanan secara pandu lalu dan take-away sahaja yang dibenarkan.


"Majikan diwajibkan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa. BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa."


Tambahnya, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri turut dilarang.


"Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat. 10.


"Operasi Rumah Ibadah Bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan.


"Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan."

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page