PKPB: BEKALAN MAKANAN, KEBAJIKAN PELAJAR POLITEKNIK KK TERJAGA - PENGARAH
- nabalunews
- Nov 1, 2020
- 1 min read

1 NOVEMBER 2020
KOTA KINABALU: Kebajikan 1,316 pelajar Politeknik Kota Kinabalu yang berada di asrama sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sentiasa dijaga termasuk memastikan bekalan makanan mencukupi, kata Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Ts Zainab Othman.
Katanya dari segi makanan, sebanyak 20,000 pek makanan harian disediakan untuk pelajar terbabit sejak 15 Okt lepas.
Menurutnya, Politeknik Kota Kinabalu turut menerima sumbangan bakul makanan daripada pensyarah politeknik berkenaan, parti-parti politik, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.
“Pelajar yang kini berada di asrama rata-rata dari pantai timur Sabah iaitu Tawau, Kunak, Semporna, Sandakan, selain ada juga yang dari kawasan luar bandar. Mereka tidak pulang ke kampung kerana kebanyakannya berada di zon merah,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Bagi memastikan aspek kesihatan pelajar terjaga, Zainab berkata politeknik itu mewujudkan Unit Gerakan COVID-19 bagi memudahkan pelajar mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pandemik berkenaan.
Unit Psikologi juga beroperasi yang mana kaunselor kami sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat kepada pelajar yang memerlukan,” katanya, menambah politeknik itu turut menyediakan pusat rawatan selain kenderaan untuk menghantar yang pelajar sakit ke hospital.
Sementara itu, Zainab berkata proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Politeknik Kota Kinabalu berjalan seperti biasa dan dilaksanakan secara dalam talian mengikut jadual yang telah dikeluarkan.
“Proses PdP secara dalam talian sememangnya mencabar. Pun begitu, kami memberi kelonggaran kepada pelajar menggunakan mana-mana kaedah yang bersesuaian, sama ada melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram, yang penting PdP dapat terus dijalankan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar Politeknik Kota Kinabalu untuk terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dan sentiasa menjaga kebersihan sebagai langkah membendung penularan COVID-19. - Bernama















Comments