PKPB DI KOTA BELUD BERKUATKUASA 13 OKT
- nabalunews
- Oct 11, 2020
- 2 min read
Updated: Feb 3, 2021

11 OKTOBER 2020
OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Perintah kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Belud akan berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam 13 Oktober sehingga 26 Oktober ini susulan terdapat peningkatan kes positif COVID-19, di daerah itu.
Menteri Kanan Pertahanan Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPB di daerah itu berkuatkuasa tengah malam 13 Oktober ini.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPB itu bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.
“Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan atau keperluan,” katanya pada sidang media secara maya dari kediamannya menerusi laman Facebook Kementerian Pertahanan, pada Ahad (11 Oktober).
Ismail Sabri berkata, sektor ekonomi berkaitan perkhidmatan perlu (essential service) termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan.
“Pasar borong, pasar tani, kedai barang keperluan, kedai runcit adalah dibenarkan beroperasi. Kedai-kedai makan, warung juga boleh dibuka tetapi terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away,” katanya.
Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula bakal dikuatkuasakan di Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih, Lahad Datu bermula 12.01 tengah malam 13 Okt hingga 26 Okt.
Ismail Sabri berkata PKPD ini melibatkan seramai 5,452 penduduk di kawasan tersebut dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan melakukan saringan bersasar kepada penduduk di kawasan terlibat.
“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.
“Oleh kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing bermakna tidak boleh membeli makanan dan sebagainya, bekalan keperluan makanan akan diagihkan kerajaan negeri Sabah yang dikoordinasikan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya.
Beliau berkata semua laluan keluar dan masuk kawasan PKPD ini ditutup namun permohonan bagi kes kecemasan seperti kematian dan sebagainya boleh dikemukakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).















Comments