PKPB: PEMANCING LEGA KERAJAAN NEGERI BENARKAN AKTIVITI MEMANCING DI LAUT
- nabalunews
- Dec 1, 2020
- 2 min read

1 DIS 2020
KOTA KINABALU: Pemancing di Sabah menarik nafas lega apabila kerajaan negeri membenarkan aktiviti memancing di laut dalam semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Seorang pemancing, Boniface P Ganis berkata aktiviti memancing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sangat dinantikan oleh para pengemar aktiviti berkenaan.
“Sebagai seorang pemancing tegar ikan laut dalam saya menyambut baik pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan kembali aktiviti memancing selaras dengan pelaksanaan PKPB di Sabah,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Pada 10 Nov lepas, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan beberapa aktiviti semasa PKPB di Sabah termasuk memancing, namun perlu mengikut SOP yang ditetapkan iaitu kehadiran maksimum 10 orang dan pemilik kapal perlu mencatat nama dan membuat pemeriksaan suhu.
Seorang kapten kapal pancing yang hanya mahu dikenali sebagai Tohmas berkata sejak kerajaan negeri membenarkan aktiviti itu, banyak tempahan diterima daripada para pemancing di sekitar Kota Kinabalu.
“Ada pemancing yang membuat tempahan untuk pakej tiga hari dua malam dan ada yang meminta pakej empat hari tiga malam dan sehingga hujung tahun ini jadual kami sudah penuh.
“Saya rasa bersyukur kerana kerajaan membenarkan aktiviti memancing laut dalam semasa PKPB kerana kalau kapal tidak beroperasi saya bersama kru kapal lain tidak mempunyai pendapatan. Gaji yang kami terima berdasarkan tempahan yang diterima,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemancing Rayner Lo berkata kerinduan untuk memancing akhirnya terubat apabila beliau dan rakan-rakannya turun memancing di laut dalam minggu lepas.
“Kali terakhir saya memancing pada Januari lepas dan selepas itu kita tidak dapat turun ke laut disebabkan pelaksanaan PKP. Namun, selepas diberitahu rakan-rakan pemancing lain bahawa kerajaan negeri telah membenarkan aktiviti ini, kami terus membuat tempahan,” katanya yang mula berjinak-jinak dalam aktiviti itu sejak 15 tahun lepas. - Bernama















Comments