top of page

PKPB: ‘RAK KONGSI REZEKI’ BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN DI KUDAT

  • nabalunews
  • Oct 16, 2020
  • 2 min read

Oleh Rohana Nasrah

KUDAT: Cakna dengan kesusahan dihadapi penduduk sekitar terutamanya golongan kurang berkemampuan yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seorang usahawan wanita di daerah ini menggerakkan projek ‘Rak Kongsi Rezeki’ bagi memastikan mereka mendapat bekalan makanan.


Inisiatif itu digerakkan Norlizah Gurahman, 33, yang menyediakan pelbagai keperluan bekalan makanan seperti tepung, beras, gula, minyak masak, telur, susu, biskut dan makanan dalam tin yang diletakkan di 15 masjid serta surau di sekitar daerah ini.


Beliau dibantu tiga rakannya, Anati Lattif, 33; Siti Syabira Izzati Mohd Safee, 26; dan Marhain Muhammad, 23, serta beberapa sukarelawan bagi menjayakan projek tersebut.


“Saya memulakan inisiatif ini sejak dua hari lepas dengan niat untuk membantu meringankan beban ditanggung penduduk sekitar daerah ini. Sebelum ini, saya turut melakukan aktiviti sama dengan menyediakan bakul makanan dan diserahkan kepada golongan memerlukan dari rumah ke rumah pada Mac lepas.


“Namun, kali ini sedikit berlainan, sebuah rak dengan pelbagai keperluan makanan disediakan di masjid dan surau sebagai alternatif bagi memastikan penduduk ada bekalan memandangkan keadaan sekarang tidak begitu sesuai melakukan aktiviti serahan dari rumah ke rumah susulan peningkatan kes COVID-19,” katanya kepada Bernama.


Norlizah berkata beliau bersama rakan-rakannya akan memantau dan menambah stok keperluan barang makanan di semua ‘Rak Kongsi Rezeki’ tersebut bagi memastikan bekalan yang berterusan untuk kemudahan penduduk yang memerlukan.


Beliau turut mengalu-alukan individu atau pihak lain yang mahu menyumbang barangan keperluan untuk diletakkan di rak itu.


"Jika lebih ramai yang tampil memberi sumbangan, pastinya akan lebih ramai dapat dibantu dan mereka dapat mengharungi tempoh mencabar ini,” katanya yang turut mengajak anak-anak muda di Kudat tampil berkhidmat dan membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.


‘Rak Kongsi Rezeki’ itu disediakan di Masjid Al Akmal Landung Ayang, Masjid An-Nur Kampung Ayer, Masjid Nurul Hikmah Kampung Gumpa, Masjid Nurhidayah Perpaduan Ria, Masjid Ar Riyasi Tanjong Kapor, Masjid Jamek Kampung Pengaraban, Masjid Asyakirin dan Masjid Ubudian, Pekan Sikuati.


Masjid lain ialah Masjid Al-Ihsan PPR Taman Ehsan, Masjid Ar Rahman Kampung Muhibbah, Masjid Imam Hj Dusaan Kampung Korina Sikuati, Masjid Tun Mustapha Kampung Limau-Limauan, Masjid Al-Badar Kampung Parapat Laut, Surau Kampung Milau dan Surau Nur Budiman, Kampung Pantai. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page