PKPD DI KG PAGINATAN DAN KG MARINGKAN RANAU MULA ESOK

28 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg. Paginatan dan Kg. Maringkan, Ranau akan mula berkuatkuasa esok (29 Dis).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ia berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kedua-dua lokaliti itu.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini melaporkan situasi peningkatan kes positif Covid-19 di Kg. Paginatan dan Kg. Maringkan, Ranau.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 529 ujian saringan dan sebanyak 89 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.
“Oleh itu atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kg. Paginatan dan Kg. Maringkan, Ranau bermula 29 Disember 2020 sehingga 11 Januari 2021,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kedua-dua lokaliti itu yang melibatkan seramai 865 orang penduduk.
“SOP PKPD di kedua-dua lokaliti tersebut adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini kecuali kelonggaran kepada kedai runcit di kawasan PKPD dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang.
“Manakala pasar di kawasan PKPD juga dibenarkan beroperasi dua kali seminggu dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang.
“Seorang wakil dari setiap rumah dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD dengan kebenaran PDRM khusus untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM/Bank dan membeli keperluan asas atau non-food items,” katanya.
Comments