PKPD KAMPUNG PULUTAN, NABAWAN DILANJUTKAN SEHINGGA 5 JULAI INI

20 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Pulutan Nabawan yang dijadualkan tamat pada 21 Jun (esok), dilanjutkan sehingga 5 Julai ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelanjutan PKPD di kawasan itu disebabkan masih terdapat jangkitan baharu yang direkodkan.
“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Pulutan, Nabawan yang dijadualkan tamat pada 21 Jun ini.
“Sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 245 ujian saringan dan 24 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“Sehingga kini, KKM mengesahkan masih terdapat penularan berterusan dikalangan penduduk di dalam kawasan PKPD serta masih terdapat jangkitan baharu yang direkodkan,” katanya.
Masidi berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Pulutan, Nabawan berkuat kuasa 22 Jun sehingga 05 Julai selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
Comments