PKPD KAMPUNG SUNGAI LANGGAS, KUNAK DAN LORONG 2 KAMPUNG KONGSI 8, TAWAU
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PKPD KAMPUNG SUNGAI LANGGAS, KUNAK DAN LORONG 2 KAMPUNG KONGSI 8, TAWAU

15 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Sungai Langgas, Kunak berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.


Manakala PKPD di Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau pula akan bermula esok (16 Mei) sehingga 29 Mei ini.



Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.


“Sehingga 15 Mei (hari ini) sebanyak 17 kes positif telah dikesan hasil ujian saringan oleh KKM ke atas 34 individu di Kampung Sungai Langgas, Kunak.


“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.



“Oleh itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD Kampung Sungai Langgas, Kunak,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, bagi Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau pula, sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 15 kes positif Covid-19 hasil daripada 56 saringan di lokaliti itu serta dengan kadar positiviti adalah 26.79 peratus.


“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan aktif (ACD) kes-kes positif supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan mengekang penularan jangkitan COVID19 ke komuniti lain,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page