top of page

PKPD LIMA LOKALITI DAERAH TAWAU, KOTA KINABALU, TUARAN DAN KOTA BELUD MULAI 15 JUN

  • Wartawan Nabalu News
  • Jun 13, 2021
  • 2 min read

Gambar Hiasan

13 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lima lokaliti melibatkan daerah Tawau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun ini.


Kawasan itu ialah Batu 3.5 Jalan Apas (kiri) Tawau, Taman Puri Warisan Kota Kinabalu, Taman Telipok Jaya dan Kampung Penimbawan daerah Tuaran serta Lebak Moyoh Kota Belud.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi Covid-19 di Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Tawau dan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi apabila sebanyak 10 kes positif telah direkodkan hasil daripada 17 ujian saringan.


“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti itu dari 15 Jun hingga 28 Jun selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.


“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan serta menghalang penularan jangkitan ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, bagi kawasan Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 yang ketara dalam tempoh dua minggu di lokaliti tersebut di mana 10 kes positif telah direkodkan.


Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti itu bagi memastikan penduduk yang berisiko kekal berada dalam kawasan PKPD dan menyekat pergerakan serta penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.


Bagi dua lokaliti di Tuaran iaitu Taman Telipok Jaya dan Kampung Penimbawan, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 yang ketara dalam tempoh seminggu di kedua-dua lokaliti tersebut di mana 10 kes positif telah direkodkan dari 11 ujian saringan yang dijalankan di Taman Telipok Jaya manakala 13 kes positif dari 77 ujian saringan di Kampung Penimbawan.


Manakala bagi Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud pula KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 yang ketara dalam tempoh seminggu di lokaliti tersebut di mana lapan kes positif telah direkodkan dari 20 penduduk yang disaring di kawasan ini.



 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page