PKPD PTS SIBUGA SANDAKAN, KG.DESA BAJAU DAN KG.DASAR BARU LAHAD DATU MULAI 2 DIS
30 November 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga kawasan baharu, masing-masing satu di Sandakan dan dua di Lahad Datu, bermula 2 Disember hingga 15 Disember ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kawasan-kawasan itu ialah Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga Sandakan dan Kg.Desa Bajau dan Kg.Dasar Baru Lahad Datu
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan ujian bersasar bagi semua tahanan dan anggota PTS.
“Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan KKM, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan itu bermula 2 Disember sehingga 15 Disember,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, sehingga kini KKM telah melaksanakan sebanyak 324 saringan dan merekodkan 104 kes kumulatif positif Covid-19 melibatkan tahanan dan anggota PTS Sibuga.
“Pelaksanaan PKPD ini melibatkan seramai 1,209 individu yang terdiri daripada 1,104 tahanan dan 105 anggota,” katanya.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD sama seperti SOP PKPD di lokaliti-lokaliti lain sebelum ini.
Mengenai PKPD di Kg.Desa Bajau dan Kg.Dasar Baru Lahad Datu, Masidi berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan itu melibatkan 914 buah rumah dengan jumlah 4,934 orang penduduk.
Beliau berkata, sehingga kini, KKM telah melaksanakan sebanyak 665 saringan dan merekodkan 90 kes kumulatif positif Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini.
“SOP PKPD di kedua-dua lokaliti itu adalah sama seperti lokaliti lain iaitu tiada aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan kecuali operasi kedai runcit bermula dari 6.00 pagi hingga 6.00 petang dan pasar awam dibuka dua kali seminggu,” katanya.
Comments