PKPD TAWAU, SANDAKAN, KG.NAHABA DAN KG.TEGUDON KOTA BELUD DITAMATKAN ESOK

2 Disember 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira Sandakan ditamatkan esok (3 Disember).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mesyuarat Khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di PTS Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan pada 3 Disember seperti yang telah dijadualkan.
Beliau berkata, PKPD di PTS Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan dikuatkuasakan sejak 6 November
lalu.
“Bagi PTS Tawau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 2,613 saringan dan sebanyak 774 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM mengesahkan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 30 November dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, bagi Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan, KKM telah membuat 1,809 ujian saringan dan sebanyak 799 jumlah kes kumulatif positif telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.
“Bagaimanapun, KKM mengesahkan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 27 November dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.
PKPD di Kg.Nahaba dan Kg.Tegudon Kota Belud juga ditamatkan esok atas nasihat dan penilaian risiko KKM.
Masidi berkata, sehingga kini KKM telah melaksanakan sebanyak 830 saringan di Kg. Nahaba dan 139 ujian saringan di Kg. Tegudon.
Comentários