top of page

PKR Sabah belum putus siapa rakan kerjasama strategik hadapi PRN-17

nabalunews

22 Julai 2024


KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah belum memutuskan siapa rakan kerjasama strategik parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud bagaimanapun mengakui kerjasama Pakatan Harapan (PH) Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini berjalan lancar bagi memastikan kerajaan negeri dalam keadaan stabil.


"Masih awal lagi. Saya sebagai pengerusi baharu, saya juga ada agenda kita seperti Himpunan Perdana Rakyat untuk memantapkan parti masing-masing.


"Akan tiba masanya kita akan mulakan proses perundingan secara rasmi nanti," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.


Mustapha berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kerusi untuk ditandingi pada PRN yang dijangka berlangsung tahun hadapan.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan baru dilantik sebagai Pengerusi MPN Sabah pada Mei lalu, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama kawasan DUN yang diintai parti itu, namun mengesahkan dua kerusi yang disandang parti itu, iaitu Inanam dan Api-Api bakal ditandingi semula.


“PKR Sabah sudah mengenal pasti beberapa kerusi yang kita boleh jadikan pilihan dan kita sedang melihat status kekuatan parti di kawasan itu, namun ini belum boleh didedahkan lagi.


“Namun, dua kerusi yang disandang PKR, iaitu Inanam dan Api-Api akan dikekalkan. Cuma, kita akan pastikan ada tambahan kerusi lagi nanti,” katanya.


Kerusi DUN Api-Api kini disandang Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew, manakala Inanam disandang Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Peto Galim.


Ditanya spekulasi mengenai dirinya yang dikatakan bakal bertanding pada PRN akan datang, Mustapha berkata perkara itu akan diumumkan apabila tiba masanya kelak.


"Terima kasih, mungkin ramai mahu saya bertanding di kawasan DUN, saya akan pertimbangkan. Ada sudah (kawasan), tunggu nanti kita akan umumkan," katanya.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi itu, termasuk kerusi yang bakal ditandinginya.


Mustapha yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud sebelum ini disebut bakal bertanding sama ada di salah satu daripada tiga kerusi DUN di Parlimen Sepanggar atau salah satu daripada empat kerusi DUN di Parlimen Kota Belud.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page