Platform media sosial tidak berlesen boleh dipenjara, denda
31 Julai 2024
SHAH ALAM : Platform media sosial yang gagal mengambil lesen pada 1 Januari tahun depan boleh dihukum denda atau penjara sekiranya mereka terus beroperasi di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform tidak berlesen berkenaan.
"Pada waktu ini, yang kita tetapkan adalah tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi Multimedia.
"Sekiranya didapati bersalah, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 ataupun lima tahun penjara ataupun kedua-duanya.
"Mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 untuk setiap hari ataupun sebahagian dari hari tersebut selagi mana 'the offence' ataupun kesalahan itu berterusan," katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menutup platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet tidak berlesen pada 1 Januari 2025.
Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan rangka kerja kawal selia baru untuk media sosial dan penyedia perkhidmatan pemesejan internet berkuat kuasa pada 1 Ogos 2024.
Katanya, penyedia perkhidmatan mempunyai tempoh sehingga 31 Disember untuk mendaftar sebelum pelaksanaan pelesenan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Sementara itu, beliau berkata, sesi libat urus bersama ahli Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) turut diadakan bagi memastikan rakyat Malaysia memahami langkah kerajaan yang berlandaskan perlembagaan.
"Kita nak satu suasana yang lebih baik terutama memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita," katanya.
Comments