PM Anwar daftar Digital ID, individu pertama di Malaysia
2 December 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi individu pertama di Malaysia yang memiliki Identiti Digital Nasional atau Digital ID, selepas mendaftarkan diri dengan sistem tersebut di Bangunan Perdana Putra, pada Jumaat.
Beliau berkata, Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Digital ID tidak menggantikan sistem MyKad, tetapi ia merupakan platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pendaftaran Digital ID juga merupakan langkah awal dalam pemberian subsidi bersasar, serta pelbagai kemudahan lain oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta.
Tambah beliau, pada 21 Nov yang lepas, kerajaan telah memperuntukkan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (RD) Mimos Bhd, untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan.
Comments