PM Anwar umum kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus, tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM Anwar umum kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus, tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam


1 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Bermula 1 Disember 2024, penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih daripada 13 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pengumuman hari ini.


Jelas beliau, kenaikan ini adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara, berbanding kenaikan 13 peratus sebelum ini.


"Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini saya akan umum kenaikan itu lebih tinggi daripada 13 peratus. Maka kita akan laksanakan lebih 13 peratus kenaikan mulai 1 Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji."


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Tambah beliau, kenaikan gaji penjawat awam akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.


Ini termasuk pendapatan menyeluruh penjawat awam meliputi gaji dan elaun tetapi mesti melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.


"Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan," kata Anwar.


"Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan," tambahnya.


Anwar menjelaskan kenaikan gaji kepada penjawat awam tertentu bagaimanapun boleh dikecualikan jika tidak menunjukkan prestasi membanggakan.


"Kalau rekod pekerjannya tak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik, tidak layak diberi ganjaran (kenaikan gaji) seperti yang dijanjikan kerajaan," kata Anwar.



bottom of page