PM beri jaminan tidak akan berkompromi berkaitan isu salah lakuPM beri jaminan tidak akan berkompromi berkaitan isu salah laku
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM beri jaminan tidak akan berkompromi berkaitan isu salah laku


Gambar oleh Jabatan Penerangan

8 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA MARUDU: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan tidak akan berkompromi jika ada isu berkaitan salah laku terhadap sesiapa sahaja.


Bagaimanapun beliau berkata, semua pihak perlu sentiasa konsisten dan berlaku adil.


“Saya sendiri akan memberi jaminan bahawa saya tidak akan berkompromi jika ada isu salah laku terhadap sesiapa sahaja. Bagaimanapun kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu di sini, hari ini.


Ismail Sabri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam yang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat segera oleh satu badan bebas, selain menyarankan dua individu berkenaan 'direhatkan' sementara siasatan berjalan.


Perdana Menteri berkata, gambaran bahawa kerajaan seolah-olah berdiam diri adalah salah kerana tindakan sudah dilakukan mengikut tatacara SPRM selaku sebuah badan bebas.


"Saya sentiasa dimaklumkan dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan, kerajaan berdiam diri adalah salah. SPRM suruhanjaya bebas, ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini," katanya.


Ismail Sabri berkata, semua pihak harus memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham melibatkan Azam.


Katanya, siasatan berhubung kes itu kini dilakukan pelbagai pihak, antaranya Suruhanjaya Sekuriti selain siasatan dalaman oleh SPRM sendiri, dan ia sekali gus menolak dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan berdiam diri.


"Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh 'jump into conclusion' seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan," katanya.

.

Beliau berkata sebagai sebuah badan bebas, tiada campur tangan dalam SPRM termasuk daripada Perdana Menteri sendiri dan menurutnya badan itu akan dipastikan kekal bebas.


Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page