PM komited selesaikan MA63, kata pemimpin Sabah dan Sarawak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM komited selesaikan MA63, kata pemimpin Sabah dan Sarawak


14 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pemimpin Sabah dan Sarawak menyambut baik komitmen dan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata rakyat di kedua-dua negeri itu menantikan penyelesaian MA63 yang mengiktiraf aspirasi dan hak mereka dalam pembentukan Malaysia.


“Perdana Menteri Ke-10 telah memberikan jawapan yang kita harapkan apabila ditanya tentang jawatankuasa khas MA63. Beliau mengatakan tidak perlu jawatankuasa lagi, laksanakan sahaja MA63. Inilah Perdana Menteri yang kita cari. Adakah Malaysia yang sebenar telah tiba? Kebangkitan negara bangsa,” katanya.


Beliau juga menyatakan kebanggaannya dengan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah rumah untuk semua kaum dan kumpulan.


Beliau berkata demikian ketika sesi Bicara Rakyat bertajuk Membina Negara Bangsa pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.


Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dalam sesi sama berkata MCA akan sentiasa memainkan peranan sebagai ejen muhibah dan perpaduan dalam usaha mempertingkat keharmonian rakyat, demi kestabilan negara.


“Kita mahu rapatkan hubungan antara semua kaum di Malaysia. Kita menjernihkan air yang keruh dan bukannya mengeruhkan air yang jernih. Kestabilan politik sangat penting untuk dibina dan dipertahankan, kepentingan rakyat wajib diutamakan,” katanya.


Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan membawa era baharu yang memberi ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia menikmati kesejahteraan hidup.


Beliau berkata Kerajaan Perpaduan yang membawa konsep Malaysia MADANI juga boleh dianggap sebagai menekan butang ‘reset’ untuk membaiki segala kesilapan yang telah dilakukan sepanjang negara menghadapi kemelut politik.


“Kenapa kita perlu tekan butang ‘reset’? Ini kerana terdapat banyak kesilapan yang telah kita lakukan sepanjang tahun-tahun yang lepas dan oleh itu kita mesti kembali kepada prinsip asas supaya dapat mara ke hadapan secara bermakna,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page