top of page

PM luluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk Premis Tamu Desa

  • nabalunews
  • May 13
  • 2 min read

11 Mei 2025


TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta untuk Projek Pembangunan Premis Tamu Desa tahun ini.


Beliau berkata, peruntukan tambahan itu merupakan hadiah sempena sambutan Hari Ibu dan sebagai penghargaan kepada kaum wanita khususnya ibu-ibu yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan melalui perniagaan kecil di pasar tamu, terutama di kawasan luar bandar.


“(Datuk) Ewon Benedick bisik tentang tamu Madani (Tamu Desa) pasar di luar bandar perlukan peruntukan tambahan. Ini hadiah hari ibu, ibu-ibu berniaga, jual buah-buahan, makanan, di luar bandar, luar daripada majlis perbandaran dan bukan di bawah bidang kuasa KPKT,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Program MADANI Rakyat 2025, di Tawau.


Anwar berkata, peruntukan itu bukan bertujuan membina restoran besar atau warung mewah, tetapi untuk menyediakan kemudahan asas seperti bumbung yang lebih baik bagi melindungi para peniaga daripada cuaca panas atau hujan.


“Oleh itu, kita luluskan peruntukan tambahan RM10 juta ini, untuk diselenggara oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, untuk membina kedai-kedai kecil terutama di Sabah dan kawasan luar bandar,” katanya.


Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap nasib penjaja dan peniaga-peniaga kecil khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.


“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta. Ini bukti komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.


Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan pelaksanaan projek Tamu Desa RM10 juta kepada peruntukan asal tahun ini RM10 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan Tamu Desa 2025 sebanyak RM20 juta yang akan dilaksanakan oleh KUSKOP.


Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan replika cek sebagai simbolik penyerahan projek siap Program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah iaitu sejumlah 59 tapak Tamu Desa bernilai lebih RM11 juta.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page