top of page

PM: Rundingan damai Thailand-Kemboja dijangka muktamad Khamis ini

  • nabalunews
  • Aug 6, 2025
  • 1 min read

5 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Rundingan berkaitan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka dimuktamadkan pada Khamis ini menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC).


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Pertahanan kedua-dua negara dijadualkan hadir dalam mesyuarat bagi mencapai kesepakatan, sekurang-kurangnya untuk mengekalkan atau meneruskan gencatan senjata antara kedua-dua pihak.


Katanya, pertemuan berkenaan juga bertujuan bagi memastikan tiada lagi pelanggaran termasuk di kawasan sempadan yang dipertikaikan.


“Kita harapkan beberapa titik pertemuan yang diselaraskan Malaysia dapat dimeterai sebelum atau pada Khamis ini.


“Setakat ini saya ingin ucapkan terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Kemboja dan Thailand yang menunujukkan sikap sangat positif untuk mencapai penyelesaian muktamad,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS–Batang Sadong) yang meminta penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.


Menurutnya, penyelesaian secara muafakat penting kerana pertikaian tersebut bukan sahaja menjejaskan hubungan dua hala, malah turut memberi kesan kepada nama baik ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa.


Mesyuarat GBC yang berlangsung di ibu negara bermula semalam sehingga Khamis ini, melibatkan Menteri Pertahanan serta pegawai keselamatan tertinggi dari Thailand dan Kemboja.


Pada 28 Julai lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas yang dianjurkan di Putrajaya oleh Anwar selaku pengerusi ASEAN tahun ini.


Perdana Menteri berkata, kejayaan ini juga adalah hasil usaha Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan negara yang membantu dalam menyelesaikan rundingan antara kedua-dua negara itu.


“Saya ucapkan tahniah. Kejayaan ini adalah kerana kejayaan kementerian-kementerian, pasukan tentera Malaysia dan kerjasama negara-negara Asean, selain sokongan daripada Amerika Syarikat dan China,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page