top of page
nabalunews

PM tiba di Mesir bagi lawatan rasmi 4 hari


10 November 2024


KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kaherah hari ini, untuk lawatan rasmi empat hari bagi memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Mesir.


Lawatan ini adalah atas undangan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi sempena sambutan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang ke-65.


Pesawat yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah (Dewan Ketibaan Presiden) pada jam 6.30 petang waktu tempatan iaitu jam 12.30 pagi, 10 November waktu Malaysia.


Ketibaan beliau disambut Perdana Menteri Mesir, Dr Mostafa Madbouly dan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian.


Anwar turut memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 16 pegawai dan anggota tentera Mesir di dewan ketibaan.


Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.


Dalam rangka lawatan rasmi ini, Anwar dijadual diberikan sambutan negara di Istana Al Ittihadiah di Kaherah oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.


Mesyuarat dua hala dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan menerusi peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang, selain pertukaran pandangan dan hala tuju bidang berkepentingan bersama iaitu dalam isu konflik di Palestin.


Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) iaitu antara Malaysia dan Al-Azhar Al Sharif bagi kerjasama di Fakulti Ulum Islamiah serta kerjasama Malaysia dan Mesir dalam bidang hal ehwal agama.


Anwar turut dijadual menyampaikan ceramah umum di hadapan pensyarah dan pelajar Universiti Al-Azhar, selain menganjurkan sesi libat urus bersama pemain industri tempatan dan merasmikan Pusat Operasi Pemasangan Proton Saga di Mesir.


Pada Isnin, Perdana Menteri akan ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang akan membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan serta perkembangan serantau, sebelum kembali semula ke Kaherah bagi meneruskan lawatan rasminya di Mesir.


Ini merupakan kunjungan kali kedua Perdana Menteri ke Mesir sejak lawatan pertama pada Oktober tahun lalu.


Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia di antara negara Afrika pada 2023 dengan nilai dagangan bernilai RM3.35 bilion, dengan imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.


Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Mohd Tarid Sufian berkata lawatan itu bakal melakar sejarah penting hubungan persaudaraan Malaysia dan Mesir.

Comentarios


bottom of page