top of page

PM ucap selamat kembali ke sekolah

  • nabalunews
  • Jan 12
  • 1 min read

12 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar sempena pembukaan sesi persekolahan baharu 2026.


Dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya, beliau turut mengingatkan ibu bapa untuk mengiringi perjalanan pendidikan anak masing-masing dengan doa dan teladan yang baik.


"Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan bersama cita-cita dan harapan.


"Semoga setiap ilmu dan nilai yang dipelajari membentuk mereka menjadi insan berakhlak, berilmu dan menyumbang kepada masa depan negara. Insya-Allah," katanya.


Kalendar akademik bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali bermula pada bulan Januari tahun ini selepas berlaku peralihan sejak 2022 susulan pandemik Covid-19.


Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut memuat naik hantaran ucapan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar dan warga pendidik bagi sesi persekolahan 2026.


“Tahun ini, kita telah berjaya mengembalikan semula sesi persekolahan ke bulan Januari, inilah yang ditunggu-tunggu semua. Terima kasih atas kesabaran dan kepercayaan,” katanya.


Sesi persekolahan bagi Kumpulan B iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini manakala bagi Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page