PM ucap takziah kepada keluarga ADUN Mahkota
2 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang meninggal dunia hari ini.
Perkara itu dikongsikan Anwar menerusi hantaran di X hari ini.
“Mendapat khabar duka akan pemergian ADUN Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain. Mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan, diampunkan segala dosa Almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya,” katanya.
Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor dan dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Wanita UMNO Kluang itu dimasukkan ke hospital berkenaan akibat mengalami sesak nafas, pada awal pagi Selasa.
Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Anak jati Kluang itu juga pernah menyandang kerusi DUN Penawar pada 2018 hingga 2022.
Sementara itu, pemergian Allahyarhamah dikongsikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebooknya hari inim
Onn Hafiz menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu perkhabaran duka.
"Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian ADUN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
"Pemergian YB Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi.
"Jasa dan bakti beliau untuk negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan semoga ALLAH SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.
Comments