PM umum kenaikan pemberian kepada kerajaan negeri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM umum kenaikan pemberian kepada kerajaan negeri



18 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri akan mendapat lebih banyak pemberian dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2023, termasuk kenaikan Pemberian berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan ini dibuat pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikannya dan dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil dari setiap negeri.


Beliau berkata mesyuarat itu juga bersetuju dengan semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian TAHAP.


“Keputusan ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Majlis Kewangan Negara turut bersetuju dengan kenaikan peruntukan pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM150 juta berbanding RM70 juta pada tahun 2022 sebagai galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.


Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga akan menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain yang berkaitan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan serta penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan.


Beliau menambah kerajaan negeri turut disaran untuk memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar sahaja.


“Langkah ini bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas,” jelas beliau.


Anwar berkata kerajaan persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri berada pada tahap yang terbaik dan hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page