top of page

PMX pengerusikan MTPMA63 di Kota Kinabalu, tumpuan kepada pelaksanaan hak Sabah dan Sarawak

nabalunews
1 hour ago
2 min read

KOTA KINABALU, 11 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu.


Mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, selain wakil Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof turut menyertai mesyuarat tersebut secara maya.


MTPMA63 menjadi platform utama rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kedua-dua kerajaan negeri bagi memperincikan serta menyelesaikan perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Antara perkara yang sebelum ini menjadi tumpuan termasuk isu kewangan dan pemberian khas, pendidikan, kesihatan, infrastruktur, kuasa pentadbiran negeri, kerusi Parlimen serta bidang kuasa tertentu yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak.


Pada mesyuarat MTPMA63 tahun lalu, Kerajaan Persekutuan secara prinsip bersetuju mempertimbangkan penambahan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak, dengan perkara itu perlu diperincikan dari sudut perundangan dan rundingan lanjut.


Kerajaan MADANI sebelum ini turut merekodkan kemajuan dalam pelaksanaan MA63, dengan 13 tuntutan dilaporkan telah diselesaikan, termasuk pengiktirafan jabatan teknikal Sarawak, penyertaan wakil negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri serta peluasan kuasa dalam pengagihan gas dan kawal selia elektrik.


Bagi Sabah pula, isu pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan kekal antara perkara penting yang diberi perhatian dalam rundingan.


Pada 2024, Perdana Menteri ketika mempengerusikan MTPMA63 di Sabah turut mengumumkan kenaikan pemberian khas interim kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta bagi setiap negeri, berkuat kuasa mulai 2025.


Sementara itu, jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berperanan memperincikan isu-isu sebelum dibawa ke peringkat MTPMA63 untuk keputusan lebih tinggi.


Pada Mac tahun ini, Fadillah memaklumkan isu pendidikan dan kesihatan antara perkara yang telah diperhalusi di peringkat teknikal, termasuk beberapa perkara yang perlu dibawa untuk pengesahan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri.


Mesyuarat MTPMA63 di Kota Kinabalu hari ini dilihat penting dalam memastikan rundingan berkaitan MA63 terus diterjemahkan kepada keputusan dan pelaksanaan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah dan Sarawak. – Sumber TVS


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page