POIC Lahad Datu wujudkan 1,729 pekerjaan, 85% pekerja tempatan termasuk belia - Ewon
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

29 April 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, DatukEwon Benedick berkata, setakat ini Taman Perindustrian Minyak Sawit Lahad Datu (POIC) berjaya mewujudkan sebanyak 1,729 peluang pekerjaan, dengan kira-kira 85 peratus daripadanya diisi oleh tenaga kerja tempatan termasuk belia dari kawasan sekitar.
Beliau berkata peluang pekerjaan itu terhasil menerusi operasi 75 syarikat dalam sektor hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu.
Katanya, syarikat-syarikat terbabit terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk oleokimia, biodiesel serta penghasilan produk berasaskan biojisim yang menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi setempat.
“Industri hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan meliputi peringkat kemahiran dan kepakaran.
“Antaranya operator pengeluaran dan pemprosesan, juruteknik dan penyelenggaraan mesin, penyelia operasi dan kawalan kualiti, pegawai teknikal dan kejuruteraan dan sokongan logistik, utiliti, keselamatan dan pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dato' Dr. Mohammad Yusof Apdal (Silam), pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Ewon berkata, purata pendapatan yang ditawarkan adalah kompetitif bergantung kepada tahap kemahiran, kelayakan dan pengalaman pekerja.
“Bagi pekerja am dan operator, gaji dianggarkan antara RM1,500 hingga RM2,600 sebulan, manakala juruteknik dan penyelia sekitar RM2,500 hingga RM4,000. Bagi pegawai teknikal dan profesional pula, pendapatan adalah RM4,000 dan ke atas,” katanya.
Ewon berkata sektor berkenaan turut menyediakan laluan perkembangan kerjaya kepada belia tempatan, di mana mereka berpeluang meningkatkan kemahiran dan naik ke peringkat lebih tinggi melalui pengalaman kerja serta latihan berterusan.
Menjawab soalan tambahan, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi latihan dan institusi kemahiran bagi menyediakan program pensijilan serta latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa setakat ini belum ada cadangan khusus untuk mewujudkan pusat latihan satelit di Lahad Datu, namun kerjasama dengan kerajaan Persekutuan boleh dipertimbangkan pada masa hadapan.
Dalam masa sama, beliau berkata kewujudan POIC telah mewujudkan ekosistem rantaian perkhidmatan yang memberi peluang kepada usahawan tempatan, termasuk belia, untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri berkenaan.















Comments