Polis Beluran rampas 37.33 gram syabu, dua lelaki ditahan di Tongod
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
8 Julai 2026
TONGOD: Polis merampas 37.33 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM4,100 serta menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Napagang, di sini, pada 5 Julai lalu.
Serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun.

Dalam tangkapan pertama, polis menahan seorang lelaki warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Pemeriksaan menemui 31.42 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM3,500.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki warga tempatan. Polis merampas 5.91 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM600 daripada suspek.
Lelaki berusia 35 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek ditahan di lokasi yang sama.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
“Polis Daerah Beluran sentiasa komited dalam usaha membanteras jenayah dadah di daerah ini dan menghargai kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Kami turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran di talian 089-511222 bagi membantu membendung aktiviti pengedaran dadah,” katanya.











