top of page

Polis buru lelaki cuba ceroboh rumah peguam wanita

  • nabalunews
  • Jun 22
  • 1 min read

Imej lelaki dikehendaki polis kerana disyaki cuba menceroboh rumah seorang peguam wanita di Tawau, semalam.
Imej lelaki dikehendaki polis kerana disyaki cuba menceroboh rumah seorang peguam wanita di Tawau, semalam.

22 Jun 2025


TAWAU: Polis cuba mengesan seorang lelaki yang disyaki menceroboh masuk ke rumah seorang peguam wanita di Taman Berjaya 2, Batu 2, Jalan Apas, di sini, pagi semalam.


Dalam kejadian jam 4.39 pagi itu, pergerakan lelaki tidak dikenali itu berjaya dikesan menerusi rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di rumah mangsa.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian itu, suspek dirakam memakai penutup muka dan topi berwarna hitam sebelum berlegar-legar di dalam kawasan rumah.


Katanya, suspek turut dikesan cuba membuka pintu kereta mangsa dan ahli keluarga lain yang diletakkan di dalam kawasan rumah berpagar.


“Suspek dipercayai masuk ke dalam kawasan rumah mangsa yang berusia 32 tahun itu dengan cara memanjat pagar hadapan rumah dan keluar mengikut jalan yang sama.


"Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kehilangan atau kerosakaan pada mana-mana bahagian rumah dan kenderaan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, semasa kejadian, penghuni rumah berada di tingkat atas dan tidak menyedari kehadiran suspek sehinggalah memeriksa rakaman CCTV pada jam 6 pagi


Sehubungan itu, Jasmin berkata, pihaknya sudah mengedarkan gambar suspek sebagai orang dikehendaki dan menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.


Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline 089-772121 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Ali di talian 0178945584 atau hadir ke Balai Polis berhampiran.


“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 477 Kanun Keseksaan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page