Polis Kudat Rampas Syabu Bernilai Lebih RM10,000, Tahan Seorang Suspek
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
9 Mac 2026
KUDAT: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 101.21 gram yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dalam sekatan di Simpang Kampung Tungkang, Sikuati pada 7 Mac lepas.
Suspek yang tidak memiliki dokumen diri sah itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat kira-kira pukul 7.10 malam. Penahanan dilakukan ketika anggota menjalankan ronda Op Tapis dan terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan curiga.
Suspek yang ditahan dipercayai positif dadah jenis Methamphetamine/Amphetamine berdasarkan ujian saringan air kencing. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian tersebut, seorang lagi suspek yang disyaki rakan komplotnya berjaya meloloskan diri. Polis sedang giat memburu individu terbabit untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Hj Ibrahim dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membenteras aktiviti pengedaran dadah di daerah ini. Beliau turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan dadah di persekitaran mereka kepada pihak polis.















Comments