Polis Kudat tahan enam individu, rampas syabu bernilai RM16,000
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KUDAT, 8 Julai – Polis merampas 161.49 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM16,000 serta menahan enam individu dalam satu serbuan di lima lokasi sekitar daerah ini pada 6 dan 7 Julai lalu.
Operasi bersepadu yang dijalankan oleh pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bermula jam 7 malam pada 6 Julai dan berakhir kira-kira jam 4.45 pagi keesokan harinya.
Antara lokasi yang diserbu ialah Kampung Tanjong Kapor, Kampung Landung Ayang, Kampung Perpaduan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan dan Kampung Muhibbah.
Semua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah kini direman bagi membantu siasatan.
Kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Hj Ibrahim, berkata pihaknya menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di daerah Kudat, demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah supaya menyalurkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan usaha membanteras jenayah itu dapat dilaksanakan secara berterusan.











