top of page

Polis Lima Ditahan Bersama Barang Curi

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

8 Februari 2026


PENAMPANG: Polis daerah ini berjaya menahan lima lelaki bersama pelbagai barangan dipercayai terkait kes pecah rumah dalam satu serbuan polis di Putatan, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, kelima-lima suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pecah rumah di sebuah rumah tidak berpenghuni.


Katanya, pemilik rumah yang sedang dalam kerja-kerja pengubahsuaian itu dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM10,000 akibat insiden berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Putatan sebelum berjaya menahan lima lelaki berusia antara 26 hingga 31 tahun.


“Polis turut merampas pelbagai barangan yang disyaki berkaitan dengan kes pecah rumah berkenaan serta dipercayai hasil kegiatan curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan pecah rumah dan dadah.


“Saringan awal air kencing turut mendapati dua daripada suspek positif dadah dan semua suspek ditahan di lokap IPD Penampang untuk siasatan lanjut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, Sammy berkata, pihaknya komited untuk meneruskan usaha membanteras jenayah harta benda dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan premis serta harta benda, khususnya rumah yang tidak berpenghuni.


“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page