Polis mengesan waris warga asing ditemui meninggal dunia di Sandakan

30 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Polis Sandakan memohon kerjasama orang awam yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil bagi membantu mengesan waris seorang lelaki dipercayai warga asing berumur dalam lingkungan 40an dengan ketinggian 170cm dan berkulit gelap yang mayatnya ditemui di Jalan Cecily menuju ke tangki air hutan simpan Kebun Cina, Sandakan pada 13 September lalu.
Mayat si mati ditemui dalam keadaan terlentang tanpa pakaian dan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Sehelai jaket berwarna biru dan seluar panjang putih tali pinggang tali rafia dipercayai milik si mati juga ditemui berhampiran mayatnya.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek, menerusi kenyataan pada Isnin berkata, mayat si mati telah selesai dibedah siasat dan kini masih berada di Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent, Sandakan sementara usaha mengesan waris simati masih dijalankan.
Polis memohon kerjasama orang awam yang kehilangan ahli keluarga seperti ciri ciri fizikal si mati atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini, untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Samad Sundalu di talian 019 8696714.
Siasatan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Comments