top of page

Polis Rampas 51.73 Gram Syabu, Tahan Lelaki Warga Asing Di Lahad Datu

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


9 Mac 2026


LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu menahan seorang lelaki warga asing bersama dadah disyaki syabu seberat 51.73 gram dalam Op Tapis di Kampung Puyut, Jalan Pantai, di sini, Sabtu malam lepas.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Polis (ACP) Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kira-kira jam 10.30 malam.


Beliau berkata, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kawasan berkenaan cuba bertindak agresif dan melarikan diri sebelum berjaya diberkas.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu beg silang berwarna hitam yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 51.73 gram, serta sembilan gulung kertas timah (foil) yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan semalam.


Beliau berkata, suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah itu kemudiannya dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut, dan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah.


Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mandatori mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana mengambil dadah.


Operasi ini menunjukkan komitmen berterusan pihak polis dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini, tambah beliau.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page