Polis Rampas Lebih Dadah 3 tan Bernilai RM240 juta.
- nabalunews
- 43 minutes ago
- 3 min read

14 Februari 2026
KOTA KINABALU: Dua sindiket pengedaran dadah ditumpaskan pihak berkuasa apabila berjaya merampas lebih tiga tan dadah dengan nilai lebih RM240 juta.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata rampasan itu dibuat menerusi dua operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah dan agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, dua operasi berkenaan iaitu Op Coleoptera dan Op Bayu itu dilaksanakan dalam beberapa serbuan di sekitar ibu bandar raya Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar serta Negeri Selangor.

"Operasi bersepadu ini telah membawa kepada rampasan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu dan Pelabuhan Klang, Selangor serta penahanan lapan orang suspek berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun.
"Sindiket ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah merentasi Laut China Selatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas menerusi operasi itu membabitkan kuantiti yang amat besar dan membimbangkan, merangkumi 3,043.5 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, 102.5 kg ketamin, 90 kg pil ekstasi, empat kilogram cecair vape disyaki mengandungi kokain serta 2.6 kg pil Erimin 5.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah ini dianggarkan berjumlah ratusan jutaan ringgit dan sekiranya bahan-bahan terlarang tersebut berjaya menembusi pasaran, ia berupaya memusnahkan kehidupan kira-kira 16 juta individu.
“Ia sekali gus mengancam keselamatan negara, meruntuhkan kesejahteraan sosial serta mencetuskan kesan jangka panjang yang serius terhadap generasi masa kini dan akan datang.
"Rampasan ini jelas membuktikan bahawa jenayah dadah adalah ancaman besar terhadap kestabilan dan masa depan negara, dan PDRM tidak akan berkompromi dalam memastikan rangkaian sindiket berbahaya seperti ini ditumpaskan sepenuhnya," katanya.

Op Coleoptera katanya bermula menerusi serbuan pertama pada 20 Januari lalu di sebuah rumah di Penampang yang membawa kepada penahanan dua lelaki warganegara tempatan.
“Ia disusuli enam lagi serbuan di pelbagai lokasi sekitar Penampang dan Inanam, termasuk Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang, Selangor.
“Sindiket itu dipercayai menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan dan menjadikan kontena di premis logistik sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa dan dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Setakat ini, Mohd Khalid berkata, empat suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala dua suspek lain telah diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan.
"Tindakan sitaan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan harta bernilai RM1 juta termasuk beberapa jenis kenderaan yang digunakan sindiket itu," katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata menerusi Op Bayu 2, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar yang dijalankan di Penampang.
Katanya, operasi dilaksanakan berpandukan maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang mana sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPK Sabah telah menjalankan pemantauan di sebuah tempat letak kenderaan di Penampang pada 5 Februari lalu.
"Hasil pemerhatian membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tanpa nombor pendaftaran dan kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas gagal melarikan diri.
"Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut telah menemukan tiga kotak yang mengandungi 60 bungkusan dadah disyaki jenis Methamphetamine dengan anggaran berat kasar 101.7 kg dan nilai pasaran RM5.66 juta," katanya.
Hasil siasatan kes pertama itu, katanya telah membawa kepada lima siri tangkapan serta tindakan susulan di lokasi berasingan melibatkan pemeriksaan kenderaan dan serbuan ke atas beberapa premis kediaman di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
Katanya, antara rampasan utama melibatkan dadah jenis syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, jus ekstasi, ketamin dan Eramin 5, selain peralatan pembungkusan, mesin penimbang, wang tunai serta beberapa kenderaan dan telefon bimbit.
Jumlah dadah yang dirampas menerusi operasi itu katanya ialah 111.3 kg syabu (RM5.66 juta), 419.62 kg serbuk Ekstasi (RM62.94 juta), 6.787 kg Pil Ekstasi (RM1.02 juta), 71.03 gram ketamin (RM14,206) dan 25.62 gram Eramin 5 (RM25,000) dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM69.65 juta.
Kedua-dua Op Cleoptera dan Op Bayu 2 itu, katanya mencerminkan komitmen PDRM dalam membanteras jenayah dadah secara menyeluruh tanpa sebarang berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, selain mencemarkan imej dan maruah negara.
"Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat. Saya berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka untuk bersama dengan PDRM dalam membanteras jenayah ini," katanya.














