top of page

Polis Ranau Keluarkan Peringatan Keselamatan Jalan Raya Sempena Cuti Sekolah

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


19 Mac 2026


RANAU: Sehubungan dengan musim cuti dan jangkaan peningkatan mendadak aliran trafik di kawasan pelancongan sekitar Ranau dan Kundasang, Polis Daerah Ranau telah mengeluarkan himbauan keselamatan jalan raya kepada orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ranau, peningkatan jumlah kenderaan di kawasan tumpuan pelancong berisiko tinggi menyebabkan kesesakan serta kemalangan jika pengguna jalan raya tidak mengamalkan pemanduan berhemah.


Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dengan mengelakkan waktu puncak dan sentiasa menyemak keadaan trafik semasa melalui aplikasi atau media sosial. Selain itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi had laju dan papan tanda yang dipasang, khususnya di laluan berbukit dan selekoh tajam yang memerlukan kawalan kelajuan berhemah bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.


Polis juga menegaskan larangan memberhentikan kenderaan sesuka hati, terutama untuk bergambar di kawasan pelancongan yang bukan zon berhenti yang telah ditetapkan. Tindakan ini bukan sahaja mengganggu aliran trafik malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Orang ramai diminta hanya meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan dan elakkan daripada meletak kenderaan di bahu jalan.


Dalam pada itu, aspek keselamatan penumpang juga perlu diberi perhatian serius di mana kanak-kanak dan warga emas hendaklah sentiasa dipantau serta dipastikan menggunakan tali pinggang keledar sepanjang perjalanan. Pengguna jalan raya turut diingatkan agar lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca hujan yang boleh menyebabkan jalan licin dan jarak penglihatan terhad.


Polis Daerah Ranau mengingatkan bahawa "satu saat cuai boleh membawa padah" justeru sikap bertimbang rasa dan sabar di jalan raya mampu menyelamatkan nyawa. Orang ramai juga diingatkan bahawa jalan raya bukan medan untuk berlumba dan keselamatan hendaklah diutamakan berbanding kelajuan.


Sebarang kecemasan atau halangan di jalan raya boleh dilaporkan dengan segera ke Balai Polis berhampiran bagi membolehkan tindakan pantas diambil.


Polis Daerah Ranau menyeru orang ramai agar bersama-sama bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran perjalanan yang selamat dan selesa untuk semua pengguna jalan raya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page