top of page

Polis Siasat Kes Ugutan Jenayah dan Khianat Libatkan Pekerja Telekom

  • nabalunews
  • Sep 23
  • 2 min read

ree

23 September 2025


KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden ugutan jenayah dan khianat yang dilaporkan berlaku di bulatan Masjid Negeri Sabah, Sembulan, di sini, awal pagi tadi.


Dalam kejadian jam 3.55 pagi itu, tiga pekerja syarikat telekomunikasi berkenaan dikatakan diserang sekumpulan lelaki yang menaiki empat kenderaan pacuan empat roda.


Kejadian dipercayai mempunyai hubungkait dengan insiden curi kabel yang kes kecurian kabel yang dilaporkan berlaku sebelum ini.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ketika kejadian, seorang lelaki berusia 28 tahun bersama dua rakan sekerja yang bekerja sebagai peronda Telekom diserang oleh sekumpulan individu tidak dikenali.


Katanya, mangsa mendakwa kenderaan mereka diekori oleh empat kereta pacuan empat roda yang datang dari arah Tanjung Aru.


“Antara kenderaan yang dikenal pasti ialah sebuah Isuzu Dmax berwarna oren, Toyota Hilux single cab putih, Nissan Navara hitam dan Toyota Hilux hitam.


“Kumpulan suspek dilaporkan bertindak membaling batu, tukul dan melastik objek keras ke arah kenderaan mangsa selain melakukan cubaan melanggar mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurutnya, akibat kejadian itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan serius termasuk cermin belakang pecah, lampu brek rosak serta bahagian badan kemek.


“Mangsa bersama rakan-rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan memandu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk mendapatkan perlindungan.


“Manakala semua kenderaan suspek pula bertindak mengubah haluan sebelum melarikan diri,” katanya.


Kasim berkata, siasatan awal mendapati kejadian ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes kecurian kabel yang dilaporkan pada 19 September lalu.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.


“Polis memandang serius insiden ini dan akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page