Polis Tahan Lelaki Berkaitan Hasutan Terhadap Ketua Menteri dan TYT
- nabalunews
- Sep 9
- 1 min read

9 September 2025
PARAR: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah menerusi aplikasi TikTok.
Suspek berusia 45 tahun ditahan di daerah Papar kira-kira jam 2.45 petang tadi susulan laporan polis, 7 September lalu berhubung hantaran daripada akaun TikTok @bentan_alamin_36.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, berdasarkan laporan diterima, suspek didapati memuatnaik kenyataan berunsur hasutan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Katanya, sebaik ditahan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan.
"Hasil semakan awal mengesahkan suspek adalah pemilik akaun tiktok berkenaan yang memuat naik kenyataan berbaur hasutan terhadap TYT dan Ketua Menteri Sabah.
“Siasatan awal, mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam sidang, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat," katanya.
Terdahulu, suspek dilaporkan membuat kenyataan di media sosial tiktok menyeru orang ramai berhimpun di hadapan permis kerajaan bagi menunjukkan protes kepada ketua menteri dan TYT.


















Comments