Polis Tahan Pengedar Dadah Di Kondominium Mewah
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

26 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di pusat bandaraya, di Jalan Coastal, di sini, awal pagi tadi.
Ketika tangkapan dilakukan kira-kira jam 12 tengah malam itu, lelaki berusia 31 tahun terbabit didapati membawa dadah jenis syabu, ekstasi dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM11,500.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Hilal berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, suspek ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di hadapan kondominium berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui tujuh paket serbuk esktasi, 14 paket halbur jernih disyaki ketamin dan 27 keratan straw dipercayai dadah jenis syabu.
“Suspek enggan memberi kerjasama sepanjang soal siasat dijalankan dan hanya menyatakan semua dadah yang dirampas adalah diproses sendiri.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan Benzo,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) akta sama.
Sementara itu, Alhusin berkata, serbuan diteruskan di rumah sewa suspek di kondominium berkenaan dan berjaya menahan tiga individu termasuk dua wanita.
Katanya, semua individu berusia 20 hingga 26 tahun terbabit mendakwa hanya dijemput oleh suspek untuk berhibur di kondominium berkenaan.

“Ketiga-tiga mereka turut mengaku tidak mengetahui mengenai penglibatan suspek pertama dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Pemeriksaan di kondominium berkenaan kemudian tidak menemui sebarang dadah namun hasil ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan Benzo,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Comments