top of page
  • nabalunews

Polis tahan suspek warga Pakistan terbabit kes langgar lari di Tuaran


4 September 2024


TUARAN: Seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berhampiran stesen minyak di Jalan Berungis - Tenghilan, di sini, berjaya ditahan polis.


Tindakan pantas polis membawa kepada penahanan suspek ketika sedang menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu pada jam 11 pagi, Selasa.


Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin, menyatakan bahawa pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan jenis sedan pada jam 1.10 pagi Selasa.


Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu serta penumpang kereta sedan dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian.


"Susulan laporan polis yang diterima, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Beberapa individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan," ujar Noraidin, lapor Utusan Borneo.


Pada hari yang sama, bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki warga Pakistan yang menerima rawatan di HQE I. Lelaki tersebut dipercayai suspek utama dalam kes kemalangan maut berkenaan.


Suspek kini ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut, dan usaha untuk mengesan rakan suspek yang turut terlibat masih diteruskan.


Polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga suspek berjaya diberkas.


Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta menghubungi Inspektor Haffiz, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di talian 011-61600964 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Comments


bottom of page