Polis Teliti Laporan Sebar Dokumen Kes Mahkamah
- nabalunews
- Sep 8
- 1 min read

8 September 2025
KOTA KINABALU: Polis akan meneliti keperluan siasatan sekiranya menerima laporan berhubung penyebaran gambar kertas yang didakwa buku tulisan tangan Zara Qairina Mahathir, di laman Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata, prosiding inkues adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Koroner.
Bagaimanapun katanya, laporan yang diterima akan diteliti terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada tindakan perlu diambil.
“Kes Koroner ada bidang kuasa mahkamah sendiri, tetapi kalau ada laporan diterima, polis akan siasat dan lihat sama ada perlu diambil tindakan atau tidak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kenyataan itu dibuat berhubung akaun Facebook yang dikesan menyebarkan gambar lembaran kertas yang didakwa mengandungi tulisan tangan Zara Qairina.
Malah di mahkamah hari ini, Koroner Amir Shah Amir Hassan turut mengingatkan pihak yang mempunyai akses terhadap barang kes di mahkamah supaya memastikan ia tidak tersebar kepada pihak luar.
Sehubungan itu, Jauteh mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab di media sosial dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang boleh menjejaskan prosiding inkues.
Manakala mengenai kes ugutan terhadap pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, Jauteh berkata siasatan masih dijalankan terhadap suspek yang ditahan sebelum ini.
“Polis turut menerima beberapa lagi laporan berkaitan inkues ini dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam laporan susulan,” katanya.


















Comments