top of page
  • nabalunews

Politeknik dan kolej komuniti catat peningkatan kemasukan pelajar baharu


28 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaporkan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke politeknik dan kolej komuniti meningkat hampir 20 peratus pada Sesi Akademik I 2023/2024.


Menurut Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) KPT, statistik pendaftaran pelajar baharu setakat 25 Ogos menunjukkan sebanyak 26,539 orang pelajar baharu mendaftar di politeknik dan kolej komuniti bagi sesi kali ini berbanding 22,634 orang pada tahun lepas.


Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Mohd Zahari Ismail berkata ia merupakan satu lonjakan yang agak besar dan sesuatu di luar jangkaan pihaknya.


"Saya ingin mengucapkan tahniah terutamanya kepada Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK atas usaha berterusan mereka untuk meningkatkan enrolmen pelajar di politeknik dan kolej komuniti," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata daripada 36 politeknik seluruh negara, 10 daripadanya turut berjaya mencatatkan penerimaan kemasukan pelajar baharu yang cemerlang apabila melebihi 100 peratus, manakala 24 daripada 105 kolej komuniti pula menerima kemasukan pelajar yang amat memberangsangkan.


Tambah beliau, antara bidang pengajian yang mendapat permintaan tinggi di politeknik dan kolej komuniti ialah kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal (automotif), kejuruteraan awam, seni bina, teknologi makanan, teknologi maklumat (teknologi digital), teknologi kreatif, seni kulinari, bidang perdagangan dan bidang pelancongan dan hospitaliti.


Beliau juga mengingatkan bahawa sesi pendaftaran pelajar masih dibuka sehingga 18 Sept depan dengan menyasarkan seramai 32,000 orang pelajar baharu akan hadir mendaftar di politeknik dan kolej komuniti bagi sesi kali ini.



Comments


bottom of page