top of page

Politeknik Kota Kinabalu dan Eko Pelancongan Tindian Komujo meterai MoU untuk kerjasama pembelajaran praktikal

nabalunews

24 Oktober 2024


KOTA BELUD: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Eko-Pelancongan Tindian Komujo Kota Belud dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Selasa, 22 Oktober bersempena dengan program ICP Project Showcase - Basic Course for Installation and Maintenance Solar System - Off Grid di tapak eko-pelancongan tersebut.


Politeknik Kota Kinabalu diwakili oleh Timbalan Pengarah, Abdul Razak Bin Hj. Mohd Daim, manakala Pengerusi Eko-Pelancongan Tindian Komujo, Saikom Watis, mewakili pihak eko-pelancongan.


Melalui MoU ini, Eko-Pelancongan Tindian Komujo akan dijadikan sebagai pusat latihan praktikal (hub) untuk pelajar-pelajar PKK, khususnya dalam bidang pendawaian elektrik dan pemasangan sistem panel solar.


Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar dalam penggunaan teknologi hijau, selaras dengan usaha mempromosikan tenaga boleh diperbaharui di Sabah.


Pada Julai lalu, pelajar-pelajar PKK telah melaksanakan projek pemasangan panel solar dan pendawaian elektrik untuk keseluruhan pondok di kawasan eko-pelancongan tersebut.


Kerjasama ini diharapkan akan meningkatkan kecekapan pelajar dalam aplikasi praktikal teknologi solar sambil membantu memajukan kawasan eko-pelancongan sebagai destinasi mesra alam yang bergantung pada tenaga lestari.


Majlis menandatangani MoU turut disaksikan oleh Dato' Indera Abdul Rahim Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan Malaysia; Dr. Sharoul Jambari, Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA); Ir. Ismail Hashim, Pengarah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah; Ahmad Hadiddin Hashim, Penolong Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; serta Datuk Oon Get Haw, Pengarah Eksekutif Seni Gemilang Sdn. Bhd.


Dengan termeterainya MoU ini, diharapkan lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang teknologi hijau dapat dijalinkan antara PKK dan pelbagai pihak industri, sekali gus membantu meningkatkan kemahiran pelajar dan menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page