top of page

Positif Dadah, Dua Lelaki Ditahan BSJND Sandakan

  • nabalunews
  • 14 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


24 Mac 2026


SANDAKAN: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah menahan dua lelaki tempatan dalam dua kejadian berasingan semalam kerana memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam badan, serta positif methamphetamine.


Kedua-dua suspek itu kini direman di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.


Dalam kejadian pertama, yang berlangsung antara jam 4.00 petang hingga 8.00 malam di sebuah penginapan di Pusat Bandar Sandakan, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan kerana disyaki memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badannya sendiri. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine/Amphetamine. Beliau disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada hari yang sama, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun di tepi jalan di kawasan Bandar Ramai-Ramai, Sandakan kerana memiliki dadah jenis Syabu. Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan air kencing, dan keputusannya didapati positif Methamphetamine/Amphetamine. Beliau ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Operasi ini dilaksanakan selaras dengan tekad Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George Abd Rakman dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini.


Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah supaya menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi memudahkan tindakan lanjut.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page