PPM Lumpuhkan Aktiviti Seleweng Minyak Diesel Subsidi
- nabalunews
- Jun 24
- 1 min read

24 Jun 2025
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya melumpuhkan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi hasil serbuan di sebuah stor di Jalan Nountun, Inanam, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu, pasukan operasi turut menahan lima lelaki berusia 29 hingga 67 tahun yang sedang memindahkan minyak diesel dari tangki skid ke dalam lori.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan di lokasi serbuan menemui sebanyak 13,500 liter diesel disyaki cuba diseleweng.

"Semua suspek gagal menunjukkan sebarang permit dan lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Selain itu, turut dirampas beberapa kenderaan yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM503,245.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Comments