PPM Rampas 157 Jerikin Minyak Petrol Seludup
- nabalunews
- May 19
- 1 min read

19 Mei 2025
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 157 jirikin minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar dalam dua operasi berasingan di perairan Pulau Mataking, di sini, Sabtu lalu.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, rampasan pertama membabitkan penahanan sebuah bot laju, kira-kira jam 9 malam.
Katanya, anggota PPM yang menjalankan tugas rondaan mengesan pergerakan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot laju berkenaan menemukan sebanyak 49 jerikin minyak petrol berisi penuh disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
“Juragan warga Filipina berusia 37 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan pemilikan barang bersubsidi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, rampasan kedua juga turut membabitkan sebuah bot laju yang sarat dengan muatan sebanyak 108 tong jerikin 25 liter yang dipenuhi minyak petrol, kira-kira jam 9.30 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat seorang lelaki warga Filipina berusia 23 tahun yang merupakan juragan bot berkenaan.
“Suspek terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan pemilikan barang bersubsidi berkenaan dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek terbabit bersama barang rampasan minyak petrol dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan termasuk dua buah bot, enjin serta minyak petrol berkenaan dianggarkan berjumlah RM128,650.20 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Sementara itu, Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Comments