PPM rampas kosmetik dan rokok seludup
- nabalunews
- Oct 8
- 1 min read

8 Oktober 2025
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan satu cubaan menyeludup masuk pelbagai barangan kosmetik dan rokok dalam dua operasi berasingan di perairan daerah ini, semalam.
Operasi khas pertama dijalankan kira-kira jam 12.45 tengah hari apabila pasukan PPM berjaya mengesan dan menahan sebuah bot membawa barangan kosmetik di perairan berhampiran Simunul.
Manakala operasi kedua berjaya dilakukan pada jam 7 malam dalam operasi di kawasan perairan Tanjung Manimpa yang membawa kepada rampasan rokok pelbagai jenama dipercayai untuk pasaran tempatan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil kedua-dua rampasan itu, pihaknya merampas 15 kotak mengandungi kira-kira 7,000 unit barangan kosmetik serta 400 karton rokok pelbagai jenama.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM262,830.
"Semua barangan berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Nazri berkata pihaknya akan terus komited membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negeri ini dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
"Kami juga mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam bagi menyalurkan sebarang aktiviti mencurigakan yang menyalahi undang-undang," katanya.


















Comments