Presiden ANGKASA terima anugerah ‘ICA Asia-Pacific Cooperative Excellence Awards’ di Manila
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Presiden ANGKASA terima anugerah ‘ICA Asia-Pacific Cooperative Excellence Awards’ di Manila



9 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menerima anugerah ‘ICA Asia-Pacific Cooperative Excellence Awards’ di bawah kategori ‘Inspirational Leader’, di Manila, Filipina, Rabu lalu.


Anugerah itu merupakan pengiktirafan sumbangan beliau kepada pertumbuhan dan pembangunan gerakan koperasi di Malaysia dan peringkat antarabangsa.


Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik (ICA-AP) berkata, anugerah berkenaan melambangkan usaha kolektif dan gigih seluruh warga koperasi di Malaysia dalam memperkasakan gerakan koperasi di peringkat nasional mahupun global.


“Anugerah ini memberi motivasi kepada saya untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada gerakan koperasi,” katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan tertinggi, pengurusan, kakitangan dan seluruh warga ANGKASA yang sentiasa memberikan sokongan dan inspirasi kepada beliau sepanjang 10 tahun memegang jawatan sebagai Presiden ANGKASA.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden ICA-AP, Dr. Chandrapal Singh Yadav sambil disaksikan oleh 600 delegasi dari 27 negara termasuk 83 delegasi dari Malaysia, sempena Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-16.


Acara selama lima hari itu bermula 6 November lalu. Turut hadir Presiden ICA, Mr. Ariel Guarco dan Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balu Iyer.


Dalam majlis yang sama, koperasi dari India, Uralungal Labour Contract Co-operative Society Limited menerima anugerah yang sama di bawah kategori ‘Enterprising Cooperative’.


Delegasi Malaysia turut terlibat dalam majlis pembukaan Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-16 dan Forum Koperasi Asia Pasifik Ke-11. Forum berkenaan merangkumi satu plenari pembukaan yang membincangkan tajuk “Accelerating the Cooperative Identity” dan tiga sesi perbincangan.


Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-16 dan Forum Koperasi Asia Pasifik Ke-11 merupakan platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa dan strategi masa depan gerakan koperasi di rantau ini.

Ia juga merupakan peluang untuk menjalin hubungan dan kerjasama antara koperasi-koperasi di Asia Pasifik.


Barisan kepimpinan ANGKASA yang hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya, Anggota Lembaga ANGKASA terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato' Haji Kamarudin Ismail, Dato' Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Prof. Madya Dato' Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Azizul Alias mewakili Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Suzana Alias mewakili Kementerian Kewangan serta 15 Pengerusi ANGKASA Negeri.


Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Haji Zaharudin Alias, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Dato' Haji Md. Yusof Haji Samsudin dan barisan pengurusan ANGKASA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato' Haji Abdullah Haji Jusoh.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page