Presiden Brazil Lawat Malaysia, Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

24 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari bermula esok, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan yang akan berlangsung di ibu negara.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Presiden Lula da Silva yang hadir ke sidang kemuncak berkenaan sebagai tetamu Pengerusi ASEAN akan diiringi oleh isterinya, Janja Lula da Silva bersama beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brazil.
Lawatan ini merupakan yang pertama oleh Presiden Lula da Silva ke Malaysia sejak memegang jawatan bagi penggal baharu pada Januari 2023.
“Presiden Lula da Silva akan diberikan upacara sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, pada 25 Oktober, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula hubungan dua hala serta membincangkan usaha memperkukuh kerjasama pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, sains dan inovasi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan dan pendidikan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk kerjasama dalam kerangka ASEAN, BRICS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta persiapan Brazil sebagai tuan rumah COP30 di Belem pada November ini.
Dalam masa sama, perbincangan turut dijangka meneroka potensi kerjasama bawah Global Alliance Against Hunger and Poverty, selain menegaskan komitmen kedua-dua negara terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Presiden Lula da Silva dan Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) meliputi bidang semikonduktor, sains, teknologi dan inovasi serta kerjasama antara badan pemikir, selain Pertukaran Nota (EoN) latihan diplomatik dan Surat Niat (LOI) kerjasama sumber genetik dan bioteknologi.
“Beliau juga dijadualkan menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20, serta Majlis Jamuan Gala yang akan dianjurkan Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambah Wisma Putra, Presiden Lula da Silva juga dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia dari 25 hingga 26 Oktober.
Pada tahun 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM20.36 bilion.
Eksport utama Malaysia ke Brazil terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, jentera, minyak sawit, getah, peranti perubatan dan farmaseutikal halal, manakala import dari Brazil merangkumi bijih logam, makanan terproses serta produk petroleum.
“Lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan rapat dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Brazil, berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama serta aspirasi memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan demi manfaat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.


















Comments